Alhamdulillah setiap 12 Rabiul Awwal tahun hijrah seluruh umat Islam akan menyambut ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w yang dikenali sebagai Maulidur Rasul. Baginda dilahirkan pada subuh hari Isnin, 20 April 571M di Kota Mekah pada tahun yang dikenali sebagai Tahun Gajah selepas percubaan insiden serangan tentera Nasrani bergajah dari Sanaa, Yemen; Raja Abrahah ke atas Kota Mekah telah dimusnahkan oleh angkatan burung Ababil. Peristiwa ini telah direkodkan di dalam Al Quran surah Al Fiil ayat 1-5. Kelahiran Muhammad s.a.w berjaya mengembangkan syiar Islam kepada penduduk Jazirah Arab selain berjaya menyampaikan dakwah kepada raja-raja Arab, Parsi dan Rom sepanjang hayat baginda. Kewafatan baginda pada 12 Rabiul Awwal 634M / 11 Hijrah tidak mematikan syiar Islam sebaliknya diteruskan oleh para khalifahnya ke seluruh dunia sehingga kini.
Menurut sejarah, Maulidur Rasul dicatatkan pertama kali disambut secara kecil-kecilan oleh sekelompok ahlul bait di Mekah Al Mukarammah semasa zaman pemerintahan khalifah Abassiyah; Muhammad Ibnu Mansur Al Mahdi pada abad ke 8M. Kemudian pada abad ke 12M, ia telah diperkenalkan dan disambut secara besar-besaran oleh Gabenor Irbil di Iraq; Al Mudzaffar Abu Sa’id al-Qakburi semasa pemerintahan Sultan Salahuddin Al Ayubi (1138-1193M). Sambutan tersebut bertujuan mengumpulkan dan menyatukan kaum muslimin bagi menaikkan semangat jihad mereka menghadapi angkatan perang salib dan merampas kembali Jurusalem dari tangan mereka. Meskipun terdapat ulama dari aliran Wahabbi dan Salaffi menganggap sambutan Maulidur Rasul sebagai bida’ah, namun kebanyakkan ulama pula menganggapnya sebagai satu bentuk sambutan yang bertujuan melahirkan rasa kecintaan kepada Rasul dan yang paling utama pengisian Maulidur Rasul harus selari dengan tuntutan syariah.
Sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w perlu dihayati dan diteruskan oleh kita. Umat Islam harus sedar dari sikap tak ambil kisah terhadap ancaman-ancaman yang dihadapi oleh ummah pada masa kini. Antaranya dakyah pemurtadan, pengliberal akidah, penghalalan seks songsang-bebas, dasar pemencilan ummah dan pencabulan teras ummah secara sistematik oleh kaum kuffar yang dibantu oleh golongan munafik.
Bahaya ancaman ini memang tidak nampak pada masa sekarang kerana kita dikaburi oleh kepura-puraan golongan kafir harbi dan kita sendiri tiada pengalaman ditindas oleh mereka. Jiwa mereka sentiasa ingin menghancurkan umat Islam dan tidak akan puas selagi umat Islam masih menguasai pemerintahan. Ini kerana penguasaan umat Islam akan membantutkan nafsu mereka untuk melakukan kemaksiatan sebebas dan sepuas nafsu mereka. Umpama parasit, dengan perancangan dan bantuan asing mereka berselindung di sebalik ketelusan dan hak asasi serta akan mencari segenap kelemahan ummah untuk diperalatkan.
Golongan munafik selalunya diberi pembiayaan, strategi dan pujian melangit serta dijanjikan pelbagai kemewahan dan kedudukan agar mereka boleh menuruti arahan si kuffar. Mereka sentiasa menghalang umat Islam melakukan kebaikan dan bertindak menjadi perosak ummah dari dalam. Ummah yang ingin menyertai gerakan jihad mempertahankan akidah dan mencegah kemungkaran pula akan dianggap sesat dan bida’ah. Tetapi jika menyokong budaya seks songsang, gerakan murtad dan terpekik di jalanan dianggap sebagai strategi dakwah untuk mendekatkan golongan tersesat kepada dakwah Islam. Kononnya ingin dilihat liberal dan moden dalam bertahalul siyasi (kerjasama politik), akhirnya tarbiyah yang ingin disampaikan, tohmahan pula diterima. Iman semakin lemah larut dalam toleransi tak bertempat, teruja dipuji jiwa semakin lalai, maruah dan akidah pula yang tergadai.
Strategi menghancurkan Islam dari dalam tidak pernah terhenti, bermula menyatakan semua agama sama menyembah Tuhan yang satu, umat Islam diajak supaya bertoleransi dengan orang bukan Islam dan dilarang sesekali menghina mereka. Sebaliknya, jika ada orang bukan Islam menghina Islam kita diminta senyap kononnya untuk menjaga keharmonian kaum dan agama.
Seterusnya umat Islam diajak menghayati nilai-nilai keadilan dan hak asasi sejagat. Secara perlahan-lahan ummah didoktrinkan bahawa seks bebas-songsang perlu dikawal bukan dihapuskan. Ini kerana nafsu buas yang tidak terlampias akan menyebabkan lebih banyak lagi jenayah. Justeru aktiviti maksiat, persundalan dan persondolan perlu dikhususkan kepada orang bukan Islam kerana kononnya mereka tidak tertakluk kepada hukum syariah. Biarlah mereka berseronok melampiaskan lelah dan ghairah, sesambil tu pembangunan ekonomi turut akan meriah.
Tak cukup minda dan hati ummah dipesongkan dengan pemikiran sebegini, puak kuffar bersedia pula memberikan duit-duit haram hasil kegiatan maksiat mereka agar jiwa ummah semakin kotor dan susah untuk menerima kebenaran. Rasulullah s.a.w pernah menegaskan; “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh di hatinya setitik tanda hitam, jika ia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu jika ia tidak bertaubat maka merebaklah titik hitam itu sehingga seluruh hatinya menjadi kelam” (Hadis riwayat Ibnu Majjah).
Apa sahaja bantuan berbentuk wang tunai, rawatan kesihatan percuma, makanan percuma sehingga tuisyen bahasa Inggeris dan matematik anak-anak muslim diberikan. Tak terhenti setakat itu, majlis-majlis umat islam pula dihadiri oleh kaum kuffar konon nak tunjuk mereka telah tertarbiyah dengan kesyumulan Islam. Baca Quran dan hadis tunggang langgang disahut dengan laungan takbir suci. Masuk dalam masjid beri tazkirah dan hadiah, ringan tangannya melapah daging korban dan menyaksikan acara khatan beramai-ramai. Alangkah terharunya hati segelintir ummah sehingga menitis air mata melihat kaum kuffar kononnya telah faham Islam. Akan tetapi awas! inilah taktik dan strategi perang saraf puak kuffar menyantuni ummah yang leka sebelum bertindak menghancurkannya.
Awaslah ummah dengan manusia perosak agama. Jasa mereka tak setara mana, tetapi bab bercakap bagai nak runtuh langit dan bergoncang bumi mengatakan orang lain sesat, dialah yang terhebat. Dirinya terlalu maksum jauh dari sifat tidak sempurna (nasiyya) dan lalai (ghaflah). Manusia sebegini wajib dijauhi bahkan diperangi habis-habisan.
Ramai ummah masih leka dibuai mimpi bahawa mereka masih majoriti di negara sendiri. Namun kita tidak harus lupa kerana kita ramailah menyebabkan musuh-musuh Islam tidak pernah reda selagi kita masih menganut Islam. Justeru, perkukuhlah ukhwah dan junjunglah akidah yang satu. Firman Allah:“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran” (Surah Al-Asr 1-5)
Jadilah seperti sahabat-sahabat Rasul s.a.w seperti Abu Bakar as Siddiq, Abu Ubaidah al Jarrah, Abu Hurairah, Abu Zhar Ghifari, Abu Dujanah dan Abu Usman yang sanggup berkorban demi Rasul tercinta. Setidak-tidaknya kita juga menghormati manusia mulia seperti Abu Talib walaupun kafir tetapi sentiasa melindungi Islam. Bukannya kaum kuffar harbi seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Rafi dan Abu Lukluah yang memusuhi Islam dengan pelbagai cara termasuk memperalatkan kaum munafik menentang Islam. Semoga Allah Berkati Ummahnya yang ikhlas.

0 comments:
Post a Comment